Telegram Nota & Soalan

Tamadun Islam dan Tamadun Asia | PANDANGAN SEMESTA TAMADUN INDIA


Pandangan semesta Tamadun India pula, ialah mengembangkan pandangan semesta yang dapat mengharmonikan kecenderungan-kecenderungan berkonflik dan lain-lain unsur kepelbagaian fenomena dunia. Tamadun India juga menekankan sifat perpaduan di satu peringkat dan sifat majmuk-relativisme di peringkat lain.

Pandangan semesta ini lebih bersesuaian dengan unsur-unsur kompleks yang terdapat dalam realiti sosial. Jadi, di dalam Tamadun India mereka bersedia untuk menerima pelbagai sistem, corak kehidupan sosial dan kepercayaan-kepercayaan. Ia tidak menuntut atau diganggu oleh prinsip moral yang terlibat dengan kepercayaan bahawa ia mempunyai kebenaran. Pandangan semesta ini membenarkan seseorang memilih cara berfikir dan melakukan tindakan tersendiri. Oleh yang demikian, kontradikasi diterima sebagai unsur kehidupan yang tidak dapat dielakkan. Perspektif ini menunjukkan bagaimana India dapat menerima dan mengekalkan pelbagai tradisi, pandangan dan pemikiran yang sering berbeza.

Sikap menerima kepelbagaian, perbezaan dan kontradikasi dalam tradisi sosiobudaya merupaka asas pandangan semesta India yang asal. Ia menekankan hakikat bahawa terdapat cara berfikir, cara hidup dan cara membuat sesuatu yang berbeza dan alternative walaupun ia bertentangan satu sama lain. Sifat ini membenarkan kepelbagaian dan menerima hakikat bahawa kontradikasi bukan sahaja boleh wujud bersama tetapi harus wujud bersama kerana dalam dunia benar semua benda dan perkara tidak diaturkan dalam satu sistem yang teratur, seimbang dan bersepadu. Jadi, tradisi ini tidak menuntut bahawa bagi dua perkara untuk wujud bersama mereka tidak mempunyai unsur-unsur yang bertentangan. Dalam perkembangan tradisi agama didapati dewa-dewi yang terpenting pada Zaman Veda Awal dengan beribu-ribu mazmur suci dicipta dan pelbagai upacara pengorbanan diadakan. Tradisi India menerima semua ini dengan kepercayaan bahawa mereka ialah unsur-unsur benar Hinduisme. Sama ada ia plisteisme atau monoteisme mahupun Vaisnavisme atau Saivisme semuanya adalah sama bagi seorang Hindu kerana mereka ialah perwakilan simbolik realiti agama yang sama.

Dewa-dewi politeistik dianggap sebagai penjaga nilai-nilai manusia seperti kesihatan, kekayaan, panjang umur, kemasyhuran dan kejayaan serta mereka boleh merayu kepada dewa-dewi supaya menghuraikan nilai-nilai ini. Konsep bahawa dewa-dewi menjaga sesuatu yang dikehendaki oleh manusia merupakan cara menegakkan nilai-nilai manusia dan memberi sifat-sifat kerohanian kepadanya.

Tamadun India juga menyaksikan kedatangan dua agama utama iaitu Islam dan Kristian dengan tradisi, kepercayaan dan amalan masing-masing. Kedua-dua ini wujud bersama dengan kepercayaan dan amalan Hindu. Orang-orang India menerima semua ini dengan semangat serta minda yang membenarkan perbezaan dan kontradikasi. Di samping itu juga, orang-orang India yang memeluk kedua-dua agama ini kekal dengan pandangan, unsur dan amalan Hindu. Misalnya prasangka-prasangka kasta, ketidakbenaran perkahwinan semula balu, penyembahan patung dan amalan upacara diteruskan.

Sistem pemikiran falsafah Hindu terdapat enam aliran iaitu Sankhya, Yoga, Nyaya, Vaiseika, Mimamsa dan Vedanta. Sankhya membincangkan 25 tattva atau prinsip yang menyumbang kepada penciptaan manakala Yoga menekankan kawalan badan dan pancaindera sebagai cara mencapai pengetahuan benar tentang Realiti Agung. Nyaya berdasarkan kepada logik jadi penekanan terhadap pemikiran yang jelas dan logik adalah cara mencapai kegembiraan teragung. Vaiseika menyatakan tentang penciptaan duniawi dari atom dan pelepasan dari kehidupan duniawi. Kuasa dan undang-undang dalam kitab Veda dibincangkan oleh Mimamsa manakala Vedanta mencadangkan kewujudan Roh Mutlak dalam semua benda bertujuan untuk mencapai penyatuan roh individu dengan roh duniawi.

Penerimaan unsur-unsur perbezaan dalam aspak agama membawa kesan positif bagi masyarakat India yang tidak mengalami sebarang pergolakan agama dalam sejarahnya. Tetapi sifat penerimaan yang terlihat dalam kehidupan sosial membawa kesan negatif terhadap seseorang individu dan sesuatu kumpulan yang menjadi mangsa diskriminasi dan penghinaan. Terdapat sebilangan manusia yang dianggap sebagai orang yang tidak boleh disentuh dan didekati, diasingkan dan dikehendaki tinggal di kawasan terpencil, didiskriminasikan dan dieksploitasi. Masyarkat India tidak memperdulikan ketidakseimbangan dan ketidakadilan yang berlaku di hadapan mereka walaupun tradisi bhakti menekankan persamaan manusia di sisi Tuhan. Ada yang cuba menggunakan konsep karma yang menyatakan bahawa kelahiran seseorang ditentukan oleh perbuatannya dalam kehidupan lalu iaitu sebelum kehidupan ini. Ini merupakan usaha golongan yang menikmati kehidupan yang baik menjustikasikan kedudukan mereka.

Aspek politik pula membincangkan konsep rajadharma atau tugas-tugas yang diwajibkan bagi seorang pemerintah atau kerajaan. Terdapat tugas dan tanggungjawab pemerintah bererti golongan yang diperintah mempunyai hak-hak tertentu untuk menuntut perhatian kerajaan. Rakyat yang setia dan membayar cukai mempunyai hak untuk menggantikan pemerintahan atau kerajaan yang kejam atau tidak cekap. Jadi tekanan terhadap obligasi atau tanggungjawab antara satu sama lain penting dalam hubungan antara kerajaan dan rakyat.

Oleh sebab itu, sikap penerimaan yang menjadi asas pandangan semesta India mempengruhi pemikiran orang India sehingga mereka menerima idea, pandangan, amalan dan kehidupan yang berbeza.

Related Posts

Tamadun Islam dan Tamadun Asia | PANDANGAN SEMESTA TAMADUN INDIA
4/ 5
Oleh