Telegram Nota & Soalan

“Sejauh Manakah Proses Membuat Kaitan Dapat Meningkatkan Keberkesanan Pengajaran Dan Pembelajaran Matematik Dalam Kalangan Murid Sekolah Rendah”

“Sejauh Manakah Proses Membuat Kaitan Dapat Meningkatkan Keberkesanan Pengajaran Dan Pembelajaran Matematik Dalam Kalangan Murid Sekolah Rendah”

Terdapat banyak pandangan menyatakan bahawa proses pembelajaran matematik ini memerlukan hubung kait 4 perkara asas utama iaitu penggunaan simbol, gambar, hubungan dengan dunia sebenar dan akhir sekali ialah perkataan iaitu sama ada penulisan atau pertuturan. Melalui model hubungan dalam matematik ini jelas menunjukkan bahawa semakin banyak berlakunya hubungan atau hubung kait, maka semakin mudah pelajar untuk memahami sesuatu pembelajaran itu.
Mohamad Daud Hamzah(1996), menyatakan bahawa kanak-kanak mempelajari matematik melalui kegiatan seharian mereka ada beberapa aktiviti yang membantu kanak-kanak memperolehi konsep-konsep awal matematik iaitu aktiviti padanan, penjenisan, reguan, dan susunan aturan melalui perhubungan mereka dengan persekitaran mereka. Dari sinilah, guru-guru sepatutnya membuat kaitan antara aktiviti asas dengan proses pengajaran dan pembelajaran mereka supaya kemahiran asas seperti tambah, tolak, darab dan bahagi dapat difahami dengan lebih tepat dan mudah lagi.
Tambahan pula, matematik adalah subjek universal yang para pelajar boleh lihat di sekeliling mereka bermula dari rumah hinggalah ke mana sahaja mereka pergi. Mereka perlu ketahui semua disekeliling mereka ialah matematik yang menyeronokkan. Sebagai contohnya mengira kelopak bunga, lingkaran cengkerang dan beberapa lagi contoh di sekeliling mereka yang dilihat sangat cantik dan mudah ini ialah berasaskan nombor Fibonacci. Jadi matematik merupakan kajian dan pembelajaran tentang semua benda yang tiada batasnya dan disinilah kata kunci yang ramai guru-guru terlepas pandang dan membataskan pembelajaran matematik sekadar nombor, tambah dan tolak sahaja.
Dalam hal ini, saya akan terangkan sejauh manakah proses membuat kaitan dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran matematik dalam kalangan pelajar sekolah rendah melalui 3 isi utama iaitu:

  • 1. Matematik dalam persekitaran dan kehidupan harian.
  • 2. Matematik merentasi kurikulum.
  • 3. Hubung kait topik dengan topik lain dalam matematik.
1
 Matematik Dalam Persekitaran Dan Kehidupan Harian
Hubung kait antara matematik dan kehidupan seharian pelajar adalah sangat jelas dan konkrit. Sebagai contohnya ialah pelajar menggunakan mental arithmetics untuk memilih makanan apa yang boleh dibeli dengan jumlah duit yang mereka ada dan mereka pelu menambah dan menolak sebelum membeli. Ini ialah matematik dan pasti mereka sendiri tidak menyedarinya. Sekiranya mereka sedar ini matematik, pasti semua pelajar beranggapan matematik itu mudah dan seronok.
Sebagai contohnya, dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang telah saya lakukan didalam kelas 4 Ikhlas untuk mengajar topik tambah perpuluhan. Saya telah mereka satu aktiviti kumpulan iaitu “ A Table of Treats” atau “Main Masak-masak” seperti permainan yang selalu mereka mainkan setiap hari namun sekarang saya kaitkan dengan matematik.
Pemerhatian yang dapat saya buat semasa proses pembelajaran ini ialah pelajar sangat seronok dan mereka mudah faham bagaimana menyelesaikan masalah tambah perpuluhan. Ini kerana selain memahami konsep, mereka dapat aplikasikan ilmu baru mereka dengan melakukan aktiviti konkrit. Idea saya ini telah di sokong teori perkembangan kognitif oleh Jean Piaget dalam buku Mok Soon Sang(2009) yang menyatakan perkembangan kanak-kanak berumur antara 7 hingga 12 tahun ini berada pada tahap operasi konkrit. Pada tahap ini mereka memerlukan bahan maujud untuk dimanipulasi bagi mendapat pengalaman belajar secara langsung.
Maka disinilah kita dapat melihat bahawa membuat kaitan pembelajaran matematik dengan persekitaran pelajar dapat membantu kefahaman mereka dan meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran matematik. Proses membuat kaitan matematik dengan kehidupan harian pelajar dapat membantu membina pengalaman yang jelas dan penggunaan bahan konkrit dalam pelaksanaannya memberikan mereka kebebasan untuk belajar sendiri dengan memanipulasi bahan tersebut.
Secara jelasnya, saya dapat nyatakan bahawa pelajar akan mudah faham apa yang mereka telah pelajari jika dilakukan aktiviti praktikal dan melibatkan persekitaran mereka kerana persekitaran sangat mempengaruhi dan membantu dalam pembelajaran pelajar.


2. Matematik merentasi kurikulum
Proses membuat kaitan dalam matematik memang dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan pelajar sekolah rendah. Matematik merentasi kurikulum ini merupakan antara proses membuat kaitan dalam matematik dimana topik dalam subjek lain di hubungkan dengan topik matematik.
Untuk lebih jelas, saya telah buktikannya dalam pengajaran dan pembelajaran 4 Ikhlas dimana dalam set induksi saya telah hubungkaitkan matematik dengan seni. Aktiviti yang saya telah lakukan ialah dengan mencampurkan air berwarna biru dengan warna kuning dan seterusnya menghasilkan warna hijau. Aktiviti ini bertujuan mengajar tambah dalam perpuluhan namun saya telah mereka aktiviti yang merentasi kurikulum dan dihubung kaitkan dengan seni. Pemerhatian yang dapat saya lihat ialah para pelajar sangat seronok dan mereka begitu cepat belajar mengenai topik tambah perpuluhan ini kerana aktiviti yang sangat menarik minat mereka untuk melakukan eksperimen dan menerokanya sendiri.
Selain itu, aktiviti matematik merentasi kurikulum ini saya lihat merupakan satu kesinambungan dengan konsep kecerdasan pelbagai oleh Dr. Howard Gardner(1993) yang menyatakan terdapat 8 jenis kecerdasan yang berbeza sebagai satu cara untuk mengukur potensi kecerdasan manusia. Kepelbagaian kecerdasan inilah yang perlu dikenal pasti pada pelajar supaya guru dapat memaksimakan pembelajaran pelajar ketahap optimum. Berdasarkan aktiviti mencampurkan air biru dan kuning bagi mengajar topik tambah perpuluhan merupakan satu contoh matematik dapat merentasi kurikulum serta mampu memenuhi teori kecerdasan pelbagai.
Berdasarkan 8 jenis kepelbagaian kecerdasan inilah guru-guru boleh mencipta rancangan pengajaran serta aktiviti yang pelbagai serta merentasi kurikulum supaya kita dapat mengenalpasti serta meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran matemaik terhadap para pelajar. Sekiranya setiap kecerdasan pelajar dapat dipenuhi, pasti pembelajaran matematik akan lebih mudah dan menyeronokkan pelajar. Inilah sebenarnya yang kita mahukan kerana ini secara tidak langsung juga akan memberikan motivasi intrinsik yang sangat penting kepada para pelajar untuk terus belajar dan cemerlang.
Saya dapati, idea matematik merentasi kurikulum iaitu dengan menghubungkait matematik dengan subjek lain benar-benar berjaya. Hal ini kerana selain dari pemerhatian secara langsung saya yang melihat para pelajar cepat dan mudah faham sesuatu pelajaran, saya juga dapati pelajar lebih seronok dimana mereka dapat mengkaitkan ilmu pengetahuan mereka sedia ada dalam subjek lain dengan matematik. Apabila saya tanya kenapa mereka seronok, antara jawapan yang saya perolehi ialah mereka menyatakan matematik ini rupanya mudah dan berkaitan dengan subjek yang mereka gemari seperti pendidikan seni dan pendidikan jasmani.
Pada pendapat saya, kaedah tematik ialah satu strategi pengajaran berasaskan satu idea besar atau tema yang disepakati oleh guru-guru yang mengajar sesebuah kelas itu.Contohnya, dalam minggu tersebut, tema utama yang dipilih oleh guru-guru ialah berkaitan haiwan laut. Maka, berasaskan tema haiwan laut inilah guru-guru perlu mencipta rancangan pengajaran yang menarik dan masih tetap mengikuti tema tersebut.
Pengajaran bertema ini bermakna guru-guru akan membuat pengulangan demi pengulangan berdasarkan tema yang dipilih tetapi masih tetap mengajar mengikut topik subjek masing-masing. Contoh tema yang biasa digunakan ialah seperti kehidupan haiwan laut. Jadi setiap guru yang masuk mengajar akan menggunakan contoh yang hampir sama kerana bertemakan haiwan laut. Pengulangan ini membuatkan pelajar mudah memahami sesuatu pembelajaran.
Idea saya ini telah disokong oleh Pavlov dalam Ian Thompson(2003) dalam teori behaviorisme beliau yang menyatakan pengulangan sesuatu tingkah laku dan pembelajaran membantu proses pembelajaran dan ingatan pelajar. Pengajaran tematik ini dapat membawa faedah kepada guru dan para pelajar dimana kurikulum berdasarkan pengajaran bertema adalah menarik dan pelbagai.


3. Hubung Kait Antara Topik-topik Dalam Matematik
Proses menghubungkait sesuatu topik dengan topik lain dalam matematik merupakan satu perkara asas dalam proses pengajaran dan pembelajaran dimana pembelajaran terbaik adalah dimulakan dengan menghubungkan pengetahuan sedia ada pelajar dengan pengetahuan baru yang akan dipelajari mereka. Contohnya ialah menghubungkaitkan idea operasi tambah yang telah dipelajari sebelum ini dengan topik baru seperti darab. Kaitan antara topik tambah dan darab ini ialah darab merupakan pengulangan proses tambah dan kaitan inilah yang perlu diajar kepada para pelajar supaya mereka dapat melihat kesinambungan pembelajaran mereka dari ilmu atau pembelajaran mereka yang lepas.
John Dewey dalam Noraini Idris(2009) juga bersetuju dengan idea menghubungkait pengalaman lepas dengan perkara baru ini dapat meningkatkan kefahaman pelajar dimana beliau menyatakan bahawa pendidik yang cekap harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebagai proses menyusun atau membina pengalaman secara berterusan melalui pengalaman sedia ada pelajar.
Saya telah melaksanakan rancangan pengajaran yang menghubungkaitkan topik lepas dengan topik baru iaitu topik pengukuran dengan topik tambah perpuluhan. Pemerhatian yang dapat saya lihat ialah saya dapati pelajar mula berfikir dan berbincang sesama mereka bagaimana mengukur panjang setiap helaian kertas yang diberikan dan melalui itu, bagaimana pula mereka dapat mencari jumlah panjang kertas tersebut. Saya juga dapati pelajar berebut-rebut untuk menjawab dan mencuba melakukan aktiviti ini dihadapan kelas kerana bagi mereka tajuk pengukuran ini telah mereka faham dan mahir tetapi pada masa yang sama mereka tidak sedar bahawa tajuk yang sedang saya ajarkan ialah tajuk yang agak sukar iaitu penambahan perpuluhan.
Melalui aktiviti ini, tiada langsung kedengaran pelajar menyatakan bahawa topik penambahan perpuluhan adalah sukar kerana aktiviti yang saya lakukan telah saya hubungkan dengan kemahiran sedia ada mereka. Ini menjadikan pembelajaran mereka lebih mudah dan senang untuk difahami.
Pada pendapat saya, pembelajaran secara menghubungkait topik yang telah dipelajari dengan topik baru merupakan satu perkara wajib supaya selain dari memudahkan pelajar untuk memahami konsep baru, pelajar juga akan dapat melihat perhubungan dan kaitan antara ilmu yang mereka telah pelajari dengan apa yang bakal mereka pelajari hari itu. Ini bukan sahaja dapat membuka jalan kefahaman kepada mereka, malah menjadikan p&p lebih professional dan menarik perhatian pelajar.


Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, saya yakin bahawa proses membuat kaitan benar-benar dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran matematik dalam kalangan pelajar sekolah rendah. Ini dapat dilakukan dengan menghubung kait matematik dengan subjek lain melalui kaedah tematik, membuat aktiviti dan contoh-contoh berkaitan dengan kehidupan seharian pelajar dan akhir sekali ialah menghubung kaitkan topik-topik dalam matematik itu sendiri supaya para pelajar dapat melihat 1 kesinambungan terhadap apa yang mereka telah pelajari dengan apa yang bakal mereka pelajari.
(1526 Patah Perkataan)


Sumber Rujukan
Gardner Howard(1993): Multiple Intelligences: The Theory in Practice. New York: Basic.
Ian Thompson(2003): Enhancing Primary Mathematics Teaching. Bell and Bain Ltd. Glasgow.
Mok Soon Sang(2009): Perkembangan Kanak-kanak. Selangor. Multimedia Sdn. Bhd.
Mohamad Daud Hamzah(1996): Perkembangan kanak-kanak dan pembelajaran. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors
Noraini Idris(2001): Pedagogi Dalam Pendidikan Matematik. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Related Posts

“Sejauh Manakah Proses Membuat Kaitan Dapat Meningkatkan Keberkesanan Pengajaran Dan Pembelajaran Matematik Dalam Kalangan Murid Sekolah Rendah”
4/ 5
Oleh