Telegram Nota & Soalan

Apa itu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu


Apa itu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu
Apa itu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu

Maklumat Perjanjian Persekutuan

Perjanjian Persekutuan telah digubal oleh Sidang Pleno Inggeris-Melayu sejak antara Jun-Disember 1946. Di akhir mesyuaratnya Sidang Pleno telah menghasilkan apa yang dikenali sebagai Blue Book setebal 100 muka surat.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani pada 21 Januari 1948 di King House dan diumumkan oleh kerajaan British . Perjanjian ini ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu, dan Sir Edward Gent, sebagai wakil Kerajaan British . Perjanjian ini adalah sebagai persediaan ke arah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Perjanjian ini penting kerana ia memansuhkan Malayan Union dan menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kali. Kedudukan Raja-Raja Melayu juga telah dikembalikan.

Antara 1946 - 1948, 11 negeri ini membentuk tanah jajahan British yang dipanggil Malayan Union. Disebabkan bantahan orang Melayu yang dipimpin oleh Dato Onn Jaafar, Malayan Union dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu, yang mengembalikan kedudukan simbolik raja-raja Melayu. Malayan Union dibubarkan secara rasmi pada 21 Januari 1948.

Dalam Perjanjian Persekutuan ini, walaupun negeri-negeri Melayu menjadi negeri naungan British, Pulau Pinang dan Melaka kekal menjadi tanah jajahan. Seperti Malayan Union, persekutuan ini tidak dianggotai Singapura, yang sebelum ini dianggap sebagai sebahagian dari Malaya.

Persekutuan Tanah Melayu ini mendapat kemerdekaan daripada Negara-negara Komanwel British pada 31 Ogos 1957. Pada 1963, Persekutuan tanah Melayu bersama-sama dengan Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (yang dinamakan semula sebagai Sabah) membentuk sebuah persekutuan baru bernama Malaysia. Singapura kemudiannya dikeluarkan dari Malaysia dan membentuk sebuah republik sendiri pada 9 Ogos 1965.

Ahli persekutuan


* Perlis
* Kedah
* Pulau Pinang
* Perak
* Selangor
* Negeri Sembilan
* Melaka
* Johor
* Pahang
* Terengganu
* Kelantan



Sistem kerajaan

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ini diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa-kuasa eksekutif dengan dibantu dan dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan Tanah Melayu dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu.

* Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan mengandungi 7 orang ahli rasmi dan 7 orang ahli tidak rasmi.

* Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan pula mengandungi Pesuruhjaya Tinggi sebagai Presiden Majlis, 14 orang ahli rasmi serta 50 orang ahli tidak rasmi yang mewakili Negeri-negeri Selat, golongan peniaga dan semua kaum. Selain daripada itu 9 orang Yang Di Pertua Majlis Mesyuarat Negeri, (Menteri Besar) dan 2 orang wakil dari Negeri-negeri Selat menjadi ahli tidak rasmi.

* Majlis Raja-Raja Melayu akan menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar imigresen.Residen British digantikan dengan seorang Menteri Besar di tiap-tiap negeri dalam Persekutuan.


Syarat kerakyatan

Syarat-syarat Kerakyatan di bawah Persekutuan Tanah Melayu ini diperketatkan lagi melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara memohon. Dengan kuatkuasa undang-undang mereka yang berikut secara otomatis boleh menjadi warganegara;

1. Rakyat kepada Sultan pada mana-mana negeri.
2. Rakyat British yang dilahirkan di Pulau Pinang atau Melaka dan telah tinggal dalam Persekutuan selama 15 tahun terus-mencrus.
3. Rakyat British yang dilahirkan di Persekutuan dan bapanya dilahirkan di Persekutuan atau tinggal selama 15 tahun terus-menerus.
4. Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan dan bertutur dalam bahasa Melayu serta mengikut adat istiadat Melayu dalam kehidupan sehari-hari.
5. Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan Tanah Melayu di mana kedua ibubapanya dilahirkan serta telah tinggal selama 15 tahun berterusan.

Melalui proses naturalisasi (secara memohon) pula seseorang itu boleh menjadi warganegara sekiranya;

1. dilahirkan di Persekutuan dan telah tinggal sekurang-kurangnya selama 8 tahun daripada 12 tahun di Persekutuan Tanah Melayu sebelum permohonan dibuat dan
2. Telah tinggal di Persekutuan selama 15 tahun daripada 20 tahun sebelum ia membuat permohonan.

Dalam kedua-dua perkara itu (melalui proses naturalisasi) pemohon- pemohon mestilah berkelakuan baik, bersumpah taat-setia dan menjelaskan tujuannya hendak menetap di Persekutuan, dan mengetahui bahasa Melayu dengan baik atau bahasa Inggeris dengan baik.

Persekutuan Tanah Melayu melalui perlembagaannya menjamin hak-hak dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu serta hak, kuasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing.

Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu

Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu mengadakan persidangan pertama di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 1948. Ia dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British Sir Edward Gent. Turut hadir ialah Menteri Negara bagi Hal Ehwal Tanah Jajahan, Lord Listowel. Dewan Perundangan Persekutuan itu adalah termaktub dalam Bahagian Empat, Perlembagaan Persekutuan 1948. Ahli majlis mestilah terdiri daripada :

1. Pesuruhjaya Inggeris sebagai Presiden
2. 3 orang Ex-Officio iaitu Ketua Setiausaha, Setiausaha Kewangan dan Peguam Negara
3. 11 orang ahli rasmi
4. 34 orang ahli tidak rasmi.

Semua ahli majlis itu kecuali ahli Ex-Officio mestilah warganegara Persekutuan Tanah Melayu ataupun rakyat British. Dalam tahun 1948 terdapat :

1. 28 orang wakil Melayu termasuk semua Menteri Besar
2. 14 orang wakil Cina
3. 6 orang wakil India
4. 14 ahli bangsa Eropah yang menjadi ahli rasmi.


* Setiausaha Negara A.T. Newboult ialah orang yang pertama berucap
* Dato' Onn Jaafar selaku wakil orang-orang Melayu
* Dr. Ong Chong Keng selaku wakil orang-orang Cina
* S.B. Palma wakil orang-orang India
* Lord Listowel selaku wakil Raja Inggeris
* Presiden Sir Edward Gent.

Dato' Onn Jaafar menegaskan bahawa rakyat Persekutuan Tanah Melayu tidak ingin melihat campurtangan dan kuasa luar dalam hal ehwal Persekutuan Tanah Melayu. Wakil orang-orang Cina pula menjelaskan bahawa orang-orang Cina akan taat setia kepada Persekutuan Tanah Melayu. Dalam Persidangan Dewan Perundangan Persekutuan yang pertama ini beberapa Jawatankuasa kecil telah dibentuk iaitu :

* 'Standing Committee On Finance'
* Jawatankuasa Pemilihan
* Jawatankuasa Keistimewaan.

Persidangan pertama itu telah meluluskan Rang Undang-Undang Perbandaran Kuala Lumpur, Rang Undang-Undang Pemindahan Kuasa dan Rang Undang-Undang Peminjaman dan Hutang. Dalam persidangan itu, wakil-wakil tidak rasmi yang baru telah menunjukkan kebolehan yang baik dalam perbahasan di Dewan tersebut. Dengan cara inilah pihak kerajaan Inggeris membimbing warganegara Persekutuan Tanah Melayu untuk terus maju ke arah berkerajaan sendiri dan mencapai kemerdekaan

Pendaftaran PKMM ditolak

Pada 1950, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menolak pendaftaran Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebagai sebuah parti politik yang sah. PKMM mempunyai dua sayap iaitu Angkatan Pemuda Insaf dan Angkatan Wanita Sedar. Asalnya PKMM tidak condong kepada komunisme. Setelah Mokhtaruddin Lasso dilantik sebagai presiden PKMM yang pertama pada bulan Oktober 1946, parti ini dipengaruhi oleh komunis. Kesatuan Melayu Muda (KMM) bergabung dengan PKMM, dan Dr Burhanuddin Helmi menjadi presiden PKMM yang kedua.Dr Burhanuddin membawa PKMM ke arah pembentukan Melayu Raya iaitu gabungan Indonesia dan Tanah Melayu. Pada Disember 1947, Ishak Haji Mohamed menjadi presiden PKMM ke-3 dan PKMM beralih dari komunisme kepada nasionalistik. PKMM cenderung anti-UMNO dan anti penjajah.PKKM menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat atau singkatannya PUTERA iaitu gabungan Parti-parti Politik radikal Melayu dan kemudian bergabung pula dengan All-Malaya Council of Joint Action atau AMCJA yang menentang habis-habisan Perjanjian Persekutuan 1948 bagi penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. PKMM menuduh pegawai-pegawai yangf dilantik dalam Persekutuan Tanah Melayu sebagai 'boneka', menari mengikut rentak 'Pejabat Jajahan'. Bagi PKMM tidak ada unsur "menyediakan Tanah Melayu sebagai kerajaan yang demokratik".


Apa itu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu by EduWeb SGO from wikipedia

Related Posts

Apa itu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu
4/ 5
Oleh